Powered By Blogger
Diberdayakan oleh Blogger.
RSS

Melakar kembali Cahaya Kenabian Umat Muhammad


12-Rabi'ul awal bukan sahaja tercatat sebagai hari ulang tahun keputeraan Rasulullah SAW bahkan 12-Rabi'ul awal juga terpahat sebagai kewafatan Rasulullah SAW.

Dikatakan oleh Hindun binti Abi Halah r.a berkenaan perihal kesempurnaan lahiriah Rasulullah SAW;
“ Nabi Muhammad SAW adalah seorang manusia yang sanggat anggun, yang wajahnya bercahaya bagaikan bulan purnama di saat sempurnanya. Badanya tinggi sederhana. Postur tubuhnya tegap. Rambutnya ikal dan panjang yang tidak melebihi daun telinganya. Warna kulitnya terang. Dahinya luas. Alisnya memanjang halus, bersambung dan indah. Sepotong urat halus membelah kedua alisnya yang akan tampak timbul di saat marahnya. Hindungnya mancung sedikit membengkok, yang dibahagian atasnya berkilau cahaya. Janggutnya lebat. Pipinya halus. Matanya hitam. Mulutnya sedang. Giginya putih tersusun rapi. Dadanya bidang dan berbulu ringan. Lehernya putih, bersih dan kemerah-merahan. Perutnya rata dengan dadanya. Bila berjalan, jalannya cepat laksana orang yang turun dari atas. Bila menoleh, seluruh tubuhnya menoleh. Pandangannya lebih banyak ke arah bumi ke timbang langit yang kebanyakannya merenung. Beliau mengiringi sahabat-sahabatnya di saat berjalan dan beliau jugalah yang mulai salam”,
Meskipun bentuk rupa yang digambar oleh Hindun binti Abi Halah melalui penulisan menampakan betapa sempurnanya diri Rasulullah SAW menurut penghayatan kita. Namun kita masih belum mampu menjangkau keindahan wajah serta susuk tubuh baginda menerusi pandangan mata kita sendiri. Sesungguhnya tidak ada contoh yang dapat membandingkan diri Rasulullah SAW dengan manusia yang lain hatta tidak ada keupayaan jua bagi syaitan untuk menyerupai Rasulullah SAW itu sendiri. Subahanallah, Allah benar-benar memelihara kekasihnya.
Tahukah kita, bahawa permulaan penciptaan Allah Ta’ala ialah roh Muhammad.
Dipetik sebahagian di dalam kitab Sirrul Asrar karangan Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani ;
Allah Yang Maha Tinggi permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya. Dalam hadis Qudsi Dia berfirman; “Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-ku”. Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadiaan, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda SAW menyatakan hal ini dengan sabdanya, “Aku daripada Allah dan sekelian yang lain daripadaku”. Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekelian roh-roh daripada roh baginda SAW di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. ‘Muhammad’ adalah nama sekelian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal-usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.
Sesungguhnya Allah Ta’ala suka dipuji maka diciptakan MUHAMMAD yang bermaksud YANG DIPUJI. Apabila Muhammad sudah dijadikan, maka diciptakan makhluk yang lain supaya mereka tahu bahawa Muhammad itu adalah kekasih Allah. Inilah rahmat Allah Ta’ala yang tidak terjangkau dan tidak terhitung. Segala semua yang tercipta adalah kerana rahmat dan kasih sayang Allah Ta’ala. Firman Allah yang bermaksud “ Tidaklah kamu ( Muhammad) diutus melainkan untuk membawa rahmat bagi sekelian alam’ ( surah al-Anbiya 21:107).
Apakah tujuan utama Allah Ta’ala mengutuskan Nabi Muhammad SAW di alam ini?
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia” ( Riwayat Ahmad).
Tahun demi tahun telah berlalu, baginda SAW jua telah lama wafat meninggalkan kita namun segala perjuangan dan risalah membawa kebenaran Islam masih lagi kekal dibawa hingga hari ini. Tetapi pernahkah kita bertanya dalam diri kita. Adakah risalah kenabian itu dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam kehidupan kita selama ini?. Hari ini kita melihat, semua umat Muhammad masih lagi mampu melafazkan selawat ke atas nabi junjungan serta meraikan hari kelahiran baginda dengan penuh warna warni aktivitinya. Tetapi seakan hanya tampak pada hari kelahirannya namun bagaimana pula pada hari-hari yang seterusnya. Iaitu dalam kehidupan kita seharian adakah kita benar-benar mempratikkannya dalam diri kita. Zaman ini juga kita lihat betapa banyak masalah keruntuhan akhlak semakin pesat bercambah dalam kelompok masyarakat kita. Bukankah ini menandakan bahawa kita telah pergi jauh meninggalkan segala pesanan Rasulullah SAW. Cara hidup baginda tidak lagi menjadi ikutan dalam hidup kita. Seolah telah terpadamnya cahaya kenabian di dalam jiwa umat Muhammad. Sedangkan Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah untuk membawa rahmat dan menyempurnakan akhlak manusia. Sesungguhnya rahmat Allah melimpah kerana keluhuran akhlak manusia, jika rosak akhlak manusia maka terlerailah segala rahmat-Nya. Ini satu petanda yang cukup jelas bagi kita pada hari ini, jadi sampai bila kita mahu tidur dan hanyut dalam buaian mimpi-mimpi indah hingga lalai dalam menyempurnakan tuntutan Allah Ta’ala. Hingga kita mula mengabaikan segala perjuangan Nabi Muhammad SAW yang selama ini bermati-matian berjuang demi kerana agama dan umatnya yang tercinta. Mana hilangnya jiwa kita ini sebagai umat Muhammad? Tidak terkenangkah kita segala jasa pengorbanan Nabi Muhammad SAW terhadap kita. Keberanian baginda berjuang berhadapan dengan musuh dalam peperangan bukan menjadi ‘pengarah’ yang duduk dari jauh. Bahkah baginda menjadi ketua perang yang berdiri dibarisan hadapan menetang musuh tanpa rasa takut dan gentar!. Tidak terkenangkah kita kepada kecintaanya kepada kita hingga pada saat nyawa baginda sudah berada dihujung-hujung alam fana, masih lagi bertanya nasib umatnya. Merayu kepada Jibril apakah jaminan dari Allah Ta’ala buat umatnya sebelum jasadnya bercerai nyawa. Tidak nampakkah kita begitu bimbangnya baginda terhadap kita sedangkan mendengar tentang mati itu sudah cukup meresahkan bagi tiap diri manusia. Inikan pula ajal yang sudah berada di hadapan mata yang telah bersedia untuk meregut. Tidak terkenangkah kita saat menatap segala sirah dan hadis, baik dibaca atau didengari. Sikap lemah lembutnya baik pada sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan agama. Sikap penyabarnya dalam menghadapi apa jua tekanan. Meskipun sahabat baginda rasa tercabar apabila melihat ada manusia yang mengasari baik dalam bahasa dan perbuatan terhadap baginda. Namun tidak tercalit sedikitpun rasa marah pada diri Rasulullah SAW. Pada keramahan serta tutur bicaranya tidak ada kata-kata yang membanggakan diri, sombong atau sia-sia. Segalanya padat dan sarat dengan himpunan-himpunan hikmah. Meruntun dan melekat di sanubari pada tiap insan yang mendengarnya. Pada tiap langkah kakinya memijak bumi ini terhampar barakah dan awan-awan di kaki langit berarak tenang dan redup memayungi diri baginda ke mana sahaja baginda pergi. Adab dan sopannya bukan hanya pada ahli keluarganya bahkan kepada insan lain, samada bayi, kanak-kanak, orang-orang tua termasuklah pada haiwan, tumbuhan dan alam sekeliling. Di malam hari, baginda menjadi seorang pencinta yang cukup setia, meratap hiba, merintih merayu kepada cinta yang Maha Agung. Walaupun baginda telah diampuni oleh Allah Ta’ala dan telah dijamin masuk syurga namun baginda tetap tawadhu. Rasa syukurnya tidak terhingga melebihi segala isi dunia. Begitu jua halnya tentang sifat qanah dan kezuhudan hidup baginda SAW, tidak ada kekayaan yang melimpah atau yang perabot-perabot indah menghiasi setiap sudut rumahnya. Cukuplah tikar pelepah kurma untuk melelapkan mata buang seketika, menghilangkan rasa penat lelah serta bekas air mengambil wuduk. Rumah sekadar untuk berlindung dari kesejukan, panas dan hujan yang pentingnya ada tempat untuk beribadah. Itu sudah cukup selesa dan memadai buat baginda.
Begitulah kisah keluhuran, kerendahan hati baginda SAW yang tiada tolok bandingnya. Sebenarnya banyak lagi keistimewa yang ada pada diri baginda hingga tidak akan habis untuk dibicarakan dan ditulis dalam waktu yang singkat!. Sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran begitu jualah yang terkandung dalam diri Rasulullah SAW. Sedarkah kita, bahawa kita telah mencalar keikhlasan baginda SAW terhadap kita. Baginda SAW tidak pernah meminta apa-apa dari umatnya untuk membalasi segala jasa baktinya. Hingga Rasulullah SAW akan tetap terus berjuang di akhirat kelak dan menjadi makhluk pertama yang dihidupkan. Serta tahukah kita, soalan yang pertama yang diajukannya kepada Jibril ialah ‘di mana umatku?’ syafaat yang ada pada dirinya dibawa hingga ke pintu syurga. Lalu...tidak tersentuhkah dalam hati kita melihat segala pengorbanan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW. Apa yang baginda mahukan dari umatnya ialah taat kepada ajaran Allah Ta’ala. Tapi kita telah merugikannya, justeru itu marilah kita kembali kepada jalan yang telah ditunjuki oleh Rasulullah SAW. Cungkilah dan laduni mutiara ilmu yang pernah diajar oleh Rasulullah yang telah kita biarkan sepi ditelan segala nafsu nafsi yang bersarang di hati. Bersihkan kembali cermin diri yang telah ditutupi oleh debu-debu nista agar terbit kembali akhlak yang mulia. Sesungguhnya akhlak yang baik lahir dari cengkaman akidah yang kuat akar tunjangnya di dalam diri manusia. Sabda Rasulullah SAW “Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya”.  Jiwa yang kuat berpegang kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW akan turut sama bergerak sepertimana gerak hati baginda; kerana kita umat Muhmmad. Hayatilah hidup ini dengan menyulam segala sunnah Rasulullah SAW dan amalkan dalam kehidupan seharian kita. Islam itu bukan sekadar pada nama, bukan warisan pusaka nenek moyang kita kerana mereka Islam ataupun ikut-ikutan. Berusahalah kita dengan bersungguh-sungguh ke arah kebaikan, insyaAllah pasti Allah akan tunjuki jalan kebenaranya. Sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komentar:

Posting Komentar